Pages

Saturday, February 4, 2012

Obes, Buncit, Gendut atau Edema?


Obes, Buncit, Gendut atau Edema?

Saya tertarik dengan isu yang dibawakan melalui artikel ini, mungkin kalau dilihat kepada istilah obes, buncit, gendut dan edema akan membawa satu mindset secara umum, iaitu masalah kegemukan. Namun, apa yang menariknya adalah isu yang dibawa mengenai edema, ramai yang kurang mengenali apa itu edema, artikel ini akan menerangkan edema secara lebih lanjut dan apa yang perlu diketahui oleh masyarakat.







Oleh : Mohd Syamirulah Rahim
Penuntut Tahun 5 Jurusan Perubatan
Nizhny Novgorod State Medical Academy, Russia


Isu kegemukan atau obes terutamanya di kalangan murid sekolah menjadi perbincangan hangat masyarakat di Malaysia. Sesuatu yang positif mungkin boleh dikaitkan dengan perkembangan ini apabila sikap prihatin masyarakat tentang kesihatan dan perubatan semakin meningkat.
Walaubagaimanapun, sebelum kita melihat isu obes secara objektif dalam rencana akan datang lebih baik kita tinjau sedikit aspek-aspek perubatan lain secara ringkas yang membincangkan perihal penyakit-penyakit yang berkaitan dengan kegemukan.
Dari gambar di atas mungkin seseorang akan mengenalinya sebagai buncit, boroi atau obes. Sebenarnya  tanggapan ini adalah tidak benar. Hakikatnya ialah keadaan ini dikenali “ascites” dalam istilah perubatan. Ascites merupakan pengumpulan cecair dibahagian abdomen badan, apabila badan kehilangan keupayaan mengawal keseimbangan tekanan cecair (homeostasis) di dalam salur darah badan. Secara umum, atau lebih popular dalam dunia perubatan istilah ini lebih dikenali sebagai “edema“. Dari gambar di atas, jelas edema berlaku di bahagian abdomen.
Edema boleh berlaku di mana-mana sahaja. Sekiranya ia berlaku di bahagian kaki sehingga menyebabkan ianya berlekuk jika ditekan (meninggalkan kesan), seperti gambar dibawah, ianya dipanggil “pitting edema”.
Manakala jika edema berlaku di muka, khususnya sekeliling mata, ia dipanggil “periorbital edema“. Contohnya gambar dibawah:
Selain di bahagian tubuh badan, edema juga boleh melibatkan organ-organ dalaman, contohnya seperti cerebral edema (edema di bahagian otak) dan pulmonary edema (edema di paru-paru).
Bagaimana edema boleh berlaku?
Seperti yang dinyatakan, edema terjadi apabila terdapat gangguan terhadap kawalan kandungan cecair didalam salur badan. Badan manusia merupakan ciptaan Tuhan yang cukup kompleks, antaranya termasuklah bagaimana badan memastikan keseimbangan kandungan cecair.
Di dalam saluran darah, terdapat dua jenis tekanan yang memainkan peranan dalam proses homeostasis badan. Tekanan tersebut dinamakan tekanan hidrostatik (hydrostatic pressure) dan tekanan onkotik (oncotic pressure). Secara ringkas, kedua-dua tekanan ini berperanan menentukan arah pergerakan cecair plasma didalam darah, sama ada keluar dari saluran darah ke kawasan intrasel (intracellular space), ataupun dari kawasan intrasel ke dalam saluran darah.
Selain dari itu, ketelapan (permeability) dinding saluran darah juga turut memainkan peranan dalam mengawal tekanan air didalam darah. Keseluruhan faktor-faktor ini memainkan peranan penting yang diformulakan sebagai Persamaan Starling (Starling Equation) bagi menerangkan fenomena edema.
Apakah punca edema?
Pertamanya, antara punca utama terjadinya edema adalah penyakit kegagalan fungsi jantung(heart failure), khususnya bagi bahagian kanan jantung. Bahagian jantung sebelah kanan terdiri daripada atrium dan ventrikel kanan, yang berfungsi menerima darah dari seluruh badan melalui vena, dan menyalurkannya ke paru-paru untuk dioksigenkan.
Dalam kegagalan fungsi ini, darah akan berkumpul di dalam vena kerana tidak dapat disalurkan ke paru-paru dengan baik. Akibatnya, tekanan hidrostatik darah akan meningkat di dalam salur darah vena, menyebabkan cecair plasma darah mengalir keluar dari dalam salur darah, ke kawasan intrasel.
Ia pertama sekali akan membawa kesan kepada bahagian bawah tubuh badan kerana pengaruh graviti ke atas cecair tersebut. Cecair intrasel akan berkumpul di bahagian kaki, menjadikan kaki berubah bentuk menjadi sembab dan besar. Malah jika ditekan pada tulang betis, ia akan meninggalkan kesan lekuk. Keadaan ini dikenali sebagai “Pitting Edema“.
Sekiranya ianya dibiarkan, ia akan semakin bertambah kronik dan meningkat ke bahagian atas tubuh badan, mencecah tulang sakrum (tulang ekor punggung). Dalam keadaan yang lebih serius, edema di bahagian perut dan abdomen akan terjadi, dinamakan “ascites”. Sehinggalah ke peringkat akhir sekiranya tiada rawatan diambil, akan akan menjadi “anasarca“, iaitu keseluruhan badan menjadi sembab dan bengkak disebabkan cecair yang berkumpul di seluruh badan.
Selain dari kegagalan fungsi jantung, penyebab lain berlakunya edema adalah penyakit bengkak hati (liver cirrhosis). Dalam kes ini, dua mekanisma berlaku, pertamanya hati gagal menghasilkan hormon-hormon dan bahan kimia yang mengawal proses badan, menyebabkan berlakunya kekacauan dalam proses mengatur keseimbangan cecair badan. Keduanya, hati menerima darah khusus daripada salur darah usus yang membawa nutrien dari makanan untuk ditapis dan diproses, justeru dalam penyakit ini, hati gagal memproses dengan efisien menyebabkan darah berkumpul di salur-salur darah abdomen. Seperti di atas, tekanan hidrostatik akan meningkat, seterusnya berubah menjadi ascites.
Penyebab utama bengkak hati adalah disebabkan pengambilan alkohol
Dua penyebab di atas merupakan penyebab utama terjadinya edema. Selain itu, penyebab-penyebab lain termasuklah seperti kegagalan buah pinggang, kegagalan fungsi salur darah vena (vein insufficiency) dan penyakit-penyakit yang mengganggu sistem limfa.
Apakah rawatan bagi edema ?
Secara umumnya, rawatan yang benar-benar berkesan bagi edema adalah dengan merawat penyebab terjadinya edema terlebih dahulu. Walaubagaimanapun, terdapat langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkannya. Antaranya ialah dengan menghadkan pengambilan air minuman, serta mengurangkan pengambilan garam. Selain itu, penggunaan ubat-ubatan dari jenis diuretik seperti Thiazide, Furosemide dan Spironolactoce boleh membantu mengurangkan edema, namun haruslah diambil hanya dengan preskripsi doktor.
Boroi, buncit atau gendut?
Tiga istilah ini secara umumnya bermaksud perut yang besar, namun konotasi boroi itu lebih tepat bermaksud pengumpulan tisu lemak di bahagian abdomen badan. Terdapat tiga jenis lokasi lemak dalam badan manusia, iaitu lemak di kulit (subcutaneous fat), lemak di antara otot (intramuscular fat), dan lemak di dalam badan (visceral fat, juga dikenali sebagai adipose tissue).
Ia biasa berlaku kepada individu yang obes, iaitu mempunyai berat badan berlebihan. Kita boleh mengetahui sama ada seseorang itu obes atau tidak, dengan mengira jumlah Indeks Jisim Badan (Body Mass Index). Bagi mereka yang obes, lemak akan berkumpul di merata tempat di dalam badan, tidak terkecuali di bahagian lemak visceral. Di bahagian abdomen badan, terdapat banyak kawasan lemak visceral, justeru itu ia akan lebih terkesan bagi individu yang obese.
Boroi atau gendut selalunya dikaitkan dengan lelaki kerana perbezaan hormon menyebabkan lemak lebih banyak disimpan di bahagian abdomen. Bagi wanita pula, hormon wanita (estrogen) menyebabkan lemak lebih tertumpu ke bahagian punggung dan paha. Kerana itulah apabila seseorang wanita telah putus haid (menopaus), lapisan lemak secara perlahan-lahan akan beralih tempat ke bahagian perut.
Boroi (abdominal obesity) merupakan satu petanda yang berbahaya. Ia menunjukkan bahawa berat badan sudah melepasi tahap yang normal, maka ia meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan angin ahmar, berkali-kali ganda. Ia juga meningkatkan risiko penyakit kencing manis, serta 1001 macam lagi jenis penyakit berbahaya.
Sumber: www.majalahsains.com 

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More